Pondok Pantun Ke Blog Mohzam Mosri

Monday, May 12, 2008

Bagi mengurangkan pengurusan blog. Pantun-pantun di Pondok Pantun akan mula diambil alih oleh blog Mohzam Mosri sedikit masa nanti. Penulis akan aktif menulis pantun jika tiada aral melintang dan penulis akan cuba mengangkat dan menulis pantun baru dalam setiap entri yang disiarkan dalam blog tersebut.

Pantun Sebahtera

Wednesday, April 23, 2008

Pantun ini saya masukkan dalam papan nota seorang sahabat yang saya hormati dan beliau telah membalasnya dengan pantun berkait jua. Pantun yang saya namakan Pantun Sebahtera;

jual kebab di bukit tinggi
dimakan orang negeri penyu
cantik adab bernilai tinggi
bahasanya orang cara Melayu

dimakan orang negeri penyu
makan tauhu rasanya masin
bahasanya orang cara Melayu
tidak tahu cara yang lain

makan tauhu rasanya masin
pisang lenyek ikan cencaru
tidak tahu cara yang lain
datuk nenek turun ke cucu

pisang lenyek ikan cencaru
jual di Bota berkayuh sampan
datuk nenek turun ke cucu
berlapik kata berpegang sopan

jual di Bota berkayuh sampan
anak nyonya membuat lepat
berlapik kata berpegang sopan
budi baiknya tak kira tempat

anak nyonya membuat lepat
lepat dimakan didalam panggung
budi baiknya tak kira tempat
susah kemudian sendiri tanggung

lepat dimakan didalam panggung
nasi dagang berulam timun
susah kemudian sendiri tanggung
bila senang datang kerumun

nasi dagang berulam timun
masak merah berlauk tauhu
bila senang datang kerumun
masa susah buat tak tahu

masak merah berlauk tauhu
makan kedarah durian sebiji
masa susah buat tak tahu
bila tergadah baru nak mengaji

makan kedarah durian sebiji
gulai sedap roti planta
bila tergadah baru nak mengaji
pandai bercakap malas nak kota

gulai sedap roti planta
roti planta airnya sirap
pandai bercakap malas nak kota
kalaupun kota tak boleh diharap

roti planta airnya sirap
mengukur kiblat di Pasir Panjang
kalaupun kota tak boleh diharap
akal singkat angan yang panjang

mengukur kiblat di Pasir Panjang
duduk bersila bersama pak Raju
akal singkat angan yang panjang
sampai bila umat nak maju

duduk bersila bersama pak Raju
beriani sekawah sebakul capati
sampai bila umat nak maju
marilah melangkah berpadu hati

beriani sekawah jamu capati
anak beruang bermain sabut
marilah melangkah berpadu hati
buruk buang yang baik disambut

anak beruang bermain sabut
ibu beruang jalan perlahan
buruk buang yang baik disambut
senanglah datang petunjuk Tuhan

ibu beruang jalan perlahan
meraung ditambat siang dan malam
senanglah datang petunjuk Tuhan
berkat dan rahmat seceruk alam

meraung ditambat siang dan malam
nenek india melilit benang
berkat dan rahmat seceruk alam
bahagia dunia akhirat senang

nenek india melilit benang
benang selalu disusun lurus
bahagia dunia akhirat senang
minta selalu jalan yang lurus

benang selalu disusun lurus
kancing suasa labuci berbalam
minta selalu jalan yang lurus
putus asa tak pernah padam

Nantikan apa pantun balasan sahabat saya ini pada entri yang akan datang.

Perkenan Sirih

Wednesday, April 2, 2008

Pertama kalinya menerima tetamu di serambi berpesan. Oleh kerana menghargai saudara Fahmi Mamat yang menyumbang pantun di ruang serambi hamba. Maka hamba, sangat berbesar hati meletakkan pantunnya disini;

gunung daik cecah ke langit,
tinggi awan tidak terjangkau,
usah dinista usaha sedikit,
lama nanti jadilah berkilau

Original design by Open Media | Adaptation from Blogger by Blog and Web